11 January 2011

Aurat lelaki

Assalamualaikum w.b.t

Aurat lelaki yang wajib ditutupnya daripada pandangan seorang lelaki lain ialah bahagian tubuh badan antara pusat dan lututnya. Ini bererti bahawa seorang lelaki tidak diharuskan melihat aurat lelaki lain pada bahagian yang terletak antara pusat dan lututnya.

Hukum ini dipersetujui oleh jumhur ulamak berdasarkan kepada beberapa buah Hadis Sahih, antaranya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub r.a bermaksud:
Bahagian anggota yang terletak di atas dua lutut adalah termasuk aurat dan bahagian anggota yang terletak di bawah pusat adalah aurat juga.

Amru bin Shuib pula meriwayatkan daripada bapanya daripada datuknya bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersamda maksudnya:
Apabila salah seorang di antara kamu mengahwinkan hamba wanitanya dengan hamba lelakinya ataupun orang upahannya maka dia (iaitu hamba wanitanya) dilarang sama sekali melihat auratnya kerana apa sahaja (bahagian anggota) yang terletak di bawah pusatnya hingga kepada dua lututnya adalah auratnya.

Selanjutnya Rasulullah s.a.w juga melarang melihat aurat itu sebagaimana sabda baginda bermaksud:
Seorang lelaki dilarang melihat aurat lelaki lain dan juga seorang wanita dilarang melihat aurat seorang wanita lain.

Hanya Imam Malik yang bercanggah pendapat dengan mengatakan bahawa paha bukanlah aurat. Bagaimanapun, terdapat beberapa dalil yang mengukuhkan pendapat
jumhur ulamak di antaranya:

Sebuah Hadis riwayat Jurhud al-Aslami, beliau berkata bahawa suatu ketika Rasulullah s.a.w telah duduk bersama-sama kami, pada saat itu paha saya terdedah, lalu baginda bertanya saya: Apakah tidak kamu tahu bahawa paha itu aurat?

Diriwayatkan juga bahawa baginda s.a.w telah bersabda kepada Ali r.a :
Janganlah kamu dedahkan paha kamu dan jangan pula kamu melihat paha orang lain sama ada yang masih hidup ataupun yang sudah mati.

Malah Rasulullah s.a.w juga melarang kita mendedahkan aurat biarpun ketika bersendirian sebagaimana sabda baginda bermaksud :
Jauhilah daripada perbuatan berbogel, sesungguhnya ada bersama-sama kamu orang yang tidak berpisah denganmu, kecuali ketika membuang air (besar dan kecil) dan ketika seseorang lelaki itu bersetubuh dengan isterinya.

Menutup aurat tidak menghalang untuk bersukan

10 January 2011

1st 3D in praktical

Assalamualaikum w.b.t

2-3 hari ini, aku sangat sibuk dan tidak sempat untuk meng'update' blog ini. Ada perkara yang lebih penting untuk dilakukan daripada menulis di sini. Disebabkan ada perkara yang lebih penting untuk dilakukan, maka saya tinggalkan blog ini dahulu untuk menyelesaikan kerja itu. Apakah kerja yang penting itu? Tentulah ia berkaitan dengan architecture. 

Minggu lepas, aku telah diamanahkan untuk membuat lukisan 3D di pejabat. Lukisan 3D sebuah banglo yan berada di dalam projek kami itu. Jadi, selepas melakukan apa yang terdaya, hasilnya ialah begini.








Ni sajalah yang mampu buat. Landscape tak ada sebab tak tau landscape kat site macam mana an. Lagipun yang diorang nak tengok cuma model. Nak buat lagi lawa, susah sikit kot sebab baru belajar kan. So, hari ini aku kena submit. Minta-minta oklah semuanya. ^_^

06 January 2011

Hobi

Assalamualaikum w.b.t

Masing-masing mempunyai hobi bukan? Apa hobi kalian? Chatting? Melayari internet? Bermain badminton? Bola sepak? Takraw? Kumpul setem? Apa pun hobi anda, diharap ada faedah disebaliknya. Begitu juga aku. Aku mempunyai hobi yang rata-rata kebanyakan orang lelaki sukai iaitu bermain bola.

Seingat aku, aku mulai serius bermain bola seumur aku 14 tahun. Pada mulanya, rakan mengajak bermain di padang sekolah, tetapi lama-kelamaan aku menjadi minat terhadap bola sepak. Sangat-sangat minat. Disebabkan minat ku yang sangat tinggi terhadap bolasepak ini, aku dan rakan-rakan akan berkumpul di padang sekolah seawal 5 petang untuk bermain bola sepak. Pada masa itu, memang aku akan bermain bersungguh-sungguh walaupun hanya bermain pada waktu petang. Dan pada masa itu juga, aku mencuba bermain di mana-mana sahaja posisi yang aku ingin cuba termasuk goalkeeper. Aku meminati bermain sebagai goalkeeper kerana berasa seronok apabila merebahkan badan di atas rumput sambil menangkap bola. Dan disebabkan itu, aku bermain untuk posisi goalkeeper dalam pasukan bola sepak yang diwujudkan bersama rakan-rakan yang lain. Rata-ratanya semua pelajar sekolah menengah.

Dan ketika itu, aku masih mengingati kejohanan pertama melibatkan pasukan bola sepakku, kami kalah dalam pusingan pertama lagi dalam kejohanan itu. Maklumlah, pengalaman pertama dalam kancah bola sepak. Tambahan pula lawan kami lebih dewasa dan berpengalaman.

Selepas beberapa lama, kami mulai bermain di padang yang lebih besar dan mulai bermain dengan orang yang lebih dewasa. Baru kami sedar bahawa tahap permainan kami lebih rendah berbanding mereka. Untuk bersaing dengan mereka, kami perlu bekerja kuat untuk bersaing dengan mereka. Daripada skill hinggalah kepantasan, mereka lebih hebat berbanding kami yang lebih mentah. Namun setelah bermain dan melihat cara mereka bermain setelah beberapa lama, kami mampu bersaing dengan mereka.

Aku masih mengingati ketika itu, kejayaan pertama aku raih dengan bermain bola sepak ialah kejohanan bola sepak 7 sebelah yang dianjurkan kampung sebelah. Walaupun ianya tidak bernilai jika dibawa keluar, tetapi ianya sangat manis apabila ianya kejayaan pertama pasukan aku yang diwujudkan secara rawak untuk pertandingan itu. Lebih manis lagi apabila aku berjaya menembusi pintu gol pihak lawan 3 kali untuk kejohanan itu. Tidak percaya rasanya dapat menjaringkan gol di dalam perlawanan yang melibatkan orang-orang yang lebih berpengalaman.

Selepas tamat SPM dan aku menyambung pelajaran di Johor Bahru, aku tidak lagi aktif bermain bola sepak. Hal ini kerana di JB orang ramai lebih menyukai bermain futsal. Sukan yang dimainkan secara 'indoor'. Teringat aku juga ketika itu, pertama kali aku bermain futsal di sana, aku bermain bersama kawan-kawan di City Plaza. Selepas itu, kami mula bermain secara aktif di sekitar JB. Dan kemenangan pertama kami raih ialah pertandingan yang dianjurkan senior kos kami. Aku berasa sungguh gembira kerana aku dan kawan-kawan satu kos berkongsi hobi yang sama.

Dan ketika berada di semester 2, kami mula berjinak-jinak bermain dengan orang yang lebih berpengalaman dalam sukan perfutsalan pada hari Jumaat malam Sabtu pada pukul 2 hingga 4 pagi di YH Futsal. Di sana, terlakar 2 kejayaan yang tidak mungkin aku lupakan semasa bersama pasukan yang ditubuhkan bersama rakan satu kos kami. Yang pertama, kami memenangi tempat kedua kejohanan yang dianjurkan kolej kami. Dan yang kedua, kami berjaya meraih tempat pertama dalam kejohanan yang sama pada tahun berikutnya.

Dan semenjak kami berpindah ke rumah sewa di semester 3, kami mulai dikenali sebagai Landak Kawan yang mengambil nama sempena nama jalan tempat kami tinggal. Semenjak kami tinggal di sana, kami semakin aktif mengadakan perlawanan persahabatan dengan mana-mana sahaja pasukan yang berhajat. Dan kami semakin dikenali selepas berjaya memenangi tempat pertama di kejohanan yang dianjurkan oleh pihak kolej.

Namun, setiap permulaan mesti ada penghujungnya. Sampai ke penghujung tahun 2010, kami terpaksa berpecah disebabkan tempat praktikal yang berlainan khasnya aku yang jauh meninggalkan kawan-kawan si selatan tanah air. Tetapi, aku tidak akan lupa kenangan-kenangan yang mampu membuat diri ini rindu untuk bermain bersama mereka. Landak Kawan sentiasa tersemat di hati. Memandangkan di sini tiada kawan yang berkongsi hobi yang sama dan ketiadaan masa yang banyak untuk memenuhi hobi yang satu ini, aku tidak lagi bermain futsal ataupun bolasepak. Tidaklah badan ini mengeluarkan peluh yang ternyata baik untuk kesihatan. Hanya terkurung di dalam office yang ber'air-cond' tanpa banyak bergerak.





Antara gambar-gambar semasa perlawanan kedua terakhir kami bersama staff kolej.

03 January 2011

Permulaan dunia baru

Assalamualaikum w.b.t.

Diluar sana kedengaran hujan yang lebat membasahi bumi. Hatiku mulai risau. Bagaimanakah aku ingin pergi kerja jika hujan yang lebat terus membasahi bumi? Lidahku tidak putus-putus memohon kepada-Nya supaya dipermudahkan urusanku pada hari pertama hari ini. Dan menjelang 8.30, hujan telah berhenti. Dan hatiku mula lega kerana perjalananku menaiki motosikal ke tempat praktikalku akan lebih mudah jika hujan telah berhenti. Dan aku pun memulakan perjalanan saat hujan berhenti.

Ketika sedang memandu menuju ke tempat praktikalku sambil menikmati pemandangan di kiri kanan jalan yang sungguh mendamaikan hati. Pemandangan yang hijau membuatkan hati mana-mana insan yang punya perasaan merasa tenang. Tetapi perhatianku teralih serta-merta ketika di pertengahan jalan, hujan kembali turun. Hatiku mulai gundah. Perasaanku bercampur-campur. Mahu teruskan perjalanan ataupun berhenti seketika. Jika aku berhenti, mesti terlambat sampai di tempat praktikalku. Aku membuat keputusan untuk tidak terlambat sampai ke tempat praktikalku dan keadaan diriku yang basah. Mujurlah baju yang aku pakai tidak terlalu nampak jika basah.

Dan aku memulakan hari pertama ini dengan keadaan yang kesejukan. Mujurlah keadaan menjadi seperti sedia-kala menjelang tengah hari. Aku menjalani hari ini dengan menolong Kak Dania, Abang Mie dan Abang Zahid melakukan kerja-kerja seorang draughtsman. Dan hari pertama inilah juga diadakan meeting di office tempat praktikalku. Aku menjadi agak gementar pabila hari pertama ini sudah menghadiri meeting. Tetapi setelah berkenalan dengan bos, Encik Zaidi yang tidak terlalu 'stritch', aku berasa lega. Boleh bergurau-senda sesama staf. Aku menghormati peribadi beliau yang sentiasa menjadikan kerja sebagai satu ibadah dan berlandaskan syariat Allah. Beliau juga pandai menasihati pekerjanya supaya menjadi seorang pekerja yang mempunyai matlamat hidup.

Menuju jam 6 petang, dan tiada kerja yang aku dapat lakukan, aku meminta izin untuk pulang ke rumah. Ketika pulang ke rumah, hati menjadi gembira bercampur teruja kerana pemandangan dan suasana di sini sungguh mendamaikan hati. Tiada jam seperti di JB. Tiada yang berlumba-lumba seperti keadaan di JB yang sentiasa ingin cepat pulang ke rumah. Dan yang paling penting, tiada pemandangan seindah di Kedah ini seperti di JB. Yang ada di JB cumalah bangunan-bangunan konkrit memenuhi kiri kanan jalan. Di sini, kiri dan kanaa jalan banyak yang dipenuhi dengan kehijauan sawah padi yang luas terbentang. Tidak sabar rasanya ingin memiliki DSLR supaya dapat merakam gambar-gambar keindahan alam ciptaan tuhan di sini.


Antara bangunan yang menghiasi pemandangan di JB

02 January 2011

Hari terakhir bermalas-malasan

Assalamualaikum w.b.t

Apa khabar kalian? Diharapkan hujung minggu begini masa-masa yang terluang dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Bagi yang diutara pula, selamat bercuti semua.


Sepatutnya, hari ini aku sudah memulakan praktikalku. Tetapi memandangkan hari cuti sempena meraikan kejayaan pasukan Malaysia yang berjaya menjuarai Piala Suzuki AFF jatuh pada hari Jumaat lepas yang juga merupakan hari cuti di utara ini, jadi hari cuti itu digantikan pada hari Ahad ini.

Hari ini, hari pertama aku berjalan-jalan di Kedah ini. Melihat sawah yang luas terbentang. Begitu mendamaikan sekali. Pada mulanya, aku dan rakan di sini pergi ke rumah anak atuk yang aku tumpang rumahnya @ Mak Lang. Di rumah Mak Lang, berjumpa pula dengan menantunya iaitu Kak Mira. Berkenalan dengan beliau dan beliau mengatakan kepada aku,"Muka jambu, mesti ramai peminat". Tergelak aku mendengar ucapan daripada mulut beliau. Tak pernah orang lain yang jumpa aku barkata sedemikian rupa. Kalau aku mempunyai ramai peminat, tidaklah bosan hari-hariku melayani peminat-peminat. Tidaklah lekang henset aku daripada dimasuki mesej atau panggilan. Tidaklah facebook aku hanya penuh dengan gambar tanpa ada yang tidak dikomen. Tidaklah blog ini suram tanpa pengunjung mahupun komen. Kenyataan yang tidak dapat diterima olehku.

Lagi satu ucapan beliau tentangku,"Badan macam pemain bola". Hanya senyum yang terukir di bibir ini. Pemain bola yang macam mane tu kak maksudnye? Nak kate tinggi, 180cm pun tak sampai. Nak kate sasa, badan pun sekeping. Memang pun saya main bola kak, tapi tak de lah macam pemain bola sepak professional. Saya ni amatur jek. Main pun entah apa-apa. Setakat penuhkan korum tu bolehla. Itulah ucapan daripada orang yang pertama kali aku jumpa dan tidak boleh diterima akal. Susah untuk mempercayainya.

Petang tadi juga Mak Lang dan Mak Anjang, kakak kepada Mak Lang memasak bubur asyura di rumah Mak Anjang. Bubur asyura yang sangat berbeza dengan bubur asyura di Johor. Kalau di Johor, bubur asyura masaknya di masjid ataupun surau. Tetapi di sini, bubur asyura dimasak dirumah dan jika ingin mengagihkan ke masjid, hantar sahaja ke sana. Cara memasaknya juga berlainan. Bubur asyura di sini di masak seperti memasak dodol. Nama sahaja sama, tetapi bentuk dan rasanya berlainan. Sangat berlainan.

Bubur asyura Kedah

Bubur asyura Johor